MARAN, 19 April (Bernama) -- Bazar Kampung bakal menjadi tumpuan utama Pesta Chenor 2019 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 25 April ini di hadapan Sungai Pahang di bandar lama Chenor di sini. 

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata Bazar Kampung itu akan mengetengahkan pelbagai produk tradisional Pahang keluaran usahawan tempatan. 

"Antaranya ialah makanan tradisi negeri ini seperti sambal hitam, gulai asam rong, puding raja dan sudah tentu kuih pepena yang sinonim dengan kawasan Chenor.

"Tidak ketinggalan ialah produk kebanggaan Pahang iaitu kain tenun turut dijangka menjadi tarikan di bazar tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-royong Perdana bersempena Pesta Chenor 2019 di bandar lama Chenor di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) Pahang Datuk Idros Yahya.

Muhammad Bakhtiar berkata Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dijadual merasmikan Pesta Chenor tahun ini.

Katanya "seramai 70,000 orang dijangka hadir sepanjang penganjuran pesta itu, yang disifatkan sebagai platform terbaik untuk mengetengahkan keunikan tradisi terutamanya kepada pelancong luar dan generasi muda.

"Penganjuran pesta ini turut membantu kebolehcapaian masyarakat terutama daripada peringkat akar umbi kepada seni dan budaya dalam membangunkan industri pelancongan di Malaysia. 

"Ia juga berperanan sebagai landasan mengangkat seni dan budaya tempatan yang semakin dilupakan sekali gus memperkenalkan keistimewaan semulajadi di kawasan itu sendiri," katanya.

Muhammad Bakhtiar berkata selain Bazar Kampung, turut diadakan ialah sukan rakyat, persembahan kesenian dan pameran daerah selain acara air seperti lumba bot laju serta acara tangkap dan lepas etak.

-- BERNAMA